Desa Murni Batik ditubuhkan pada tahun 1974, dimana pengasasnya adalah Tn Hj Embong bin Su. Desa Murni Batik telah melalui beberapa fasa teknik pembuatan batik, diantaranya penggunaan Batik Blok diawal penubuhan Desa Murni Batik. Teknik Batik Blok adalah dimana kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang dikehendaki menggunakan blok tembaga.
Kemudian pada tahun 1990, Desa Murni Batik telah menggunakan teknik Batik Canting dimana Batik Canting adalah proses lilin cair digunakan untuk melukis corak pada kain putih bagi membentuk motif dan corak batik yang dikehendaki.
Kilang Desa Murni Batik telah berjaya didirikan pada tahun 1994. Dengan penggunaan teknik Batik Stensil pada masa tersebut telah dapat mengandakan pengeluaran sutera stensil yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengguna batik tempatan. Batik Stensil juga dikenali sebagai batik skrin atau batik sutera saring. Batik jenis ini merujuk kepada teknik lakaran corak dan terapan warna dilakukan di atas skrin yang diperbuat daripada poliester yang diregang di atas pemidang. Bagi menghasilkan sehelai kain batik stensil, beberapa keping pemidang dengan corak yang berbeza diperlukan.
Selaras dengan peredaran zaman serta perkembangan teknologi tekstil, Desa Murni Batik telah tampil dengan idea baru apabila lahirnya seni batik yang digabungkan dengan teknologi moden dikenali sebagai Batik Digital pada tahun 2005 yang sebelum ini hanya dimonopoli oleh pengusaha dari Itali dan Jepun. Desa Murni Batik telah membeli mesin yang berteknologi tinggi dari ITALI untuk memenuhi inspirasi CEO Desa Murni Batik yang baru iaitu Tn Hj Suhaimi bin Embong. Beliau adalah anak sulung kepada pengasas Desa Murni Batik.
Dengan mesin berteknologi tinggi dari ITALI ini, kain batik yang dihasilkan oleh Desa Murni Batik adalah setanding dengan kualiti jenama antarabangsa. Ia juga menjadikan proses pembuatan batik lebih mudah dan dapat menjimatkan masa memproses batik TAPI pada masa yang sama masih mengekalkan keunikan batik itu sendiri.
Batik Digital keluaran Desa Murni Batik ini telah mendapat sambutan yang luarbiasa daripada peminat batik. Sehingga kini Desa Murni Batik memiliki lebih daripada 200,000 design dalam usaha untuk memenuhi kehendak pelanggan yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.